Ultraman Nebius!

Perkongsian ini adalah pengalaman sebenar guru di Rangkaian Tadika ABS.

Kisah ini adalah salah satu himpunan dari 16 kisah pengalaman yang diceritakan dalam Ebook Mendorong Tingkah Laku Positif Kanak-kanak: Aplikasi Teknik Nabi di Rangkaian Tadika ABS.

 

Oleh: Cik Puan Nurdiyanah Dzulkarnain

Sejak awal tadika dibuka, kami sebagai guru berasa susah hati dengan tingkah laku Tuan Muda Amirul.

Walaupun dia sering menunjukkan tingkah laku negatif dan suka membuli kawan-kawannya, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, namun Tuan Muda ini sangat bijak dan begitu teruja untuk belajar.

Dalam kelas, Tuan Muda adalah antara pelajar yang cepat mudah faham, gemar bertanya dan bercerita serta selalu menunjukkan hasil kerja kepada guru-guru tanpa diminta.

Itu adalah kelebihan Tuan Muda Amirul.

Dalam situasi begini, guru-guru mestilah tinggi kesabarannya. Daripada mengeluh, kami berbincang bagaimana cara yang lebih efektif untuk mengelakkan Tuan Muda ini daripada meneruskan tabiat lamanya.

Apa yang kami dapat kenal pasti, Tuan Muda sangat meminati rancangan Ultraman Nebius. Tanya sahaja kepadanya tentang Ultraman, salasilah keluarga Ultraman memang sentiasa meniti di bibirnya. Daripada situ, kami sudah mengagak punca dia sentiasa membuli kawan-kawannya.

Mungkin Tuan Muda sentiasa merasakan dia adalah Ultraman Nebius yang gagah dan tidak pernah kalah dalam pertarungan, maka dia sewenang-wenangnya menyepak dan menolak kawan-kawannya ketika bermain.

Suatu hari ketika dia sedang bermain dengan rakan-rakan lelaki yang lain, saya mendekati mereka.

“Tuan-tuan muda, apa kata tuan-tuan muda sekalian saling bertukar-tukar peranan?,” cadang saya.

“Bagaimana cikgu?” tanya Tuan Muda yang saya kira tertanya-tanya maksud saya dengan ‘bertukar-tukar peranan’.

Nampaknya rancangan saya untuk memancing dan menimbulkan persoalan kepada Tuan Muda ini berjaya.

“Begini. Tuan Muda sudah jadi Ultraman Nebius, bukan?” tanya saya.

Tuan Muda mengangguk-angguk.

“Apa kata selepas ini, Tuan Muda jadi pasukan penyelamat pula dan beri peranan Ultraman kepada tuan muda yang lain. Nanti selepas ikut giliran, Tuan Muda jadi Ultraman semula. Baru seronok main begini,” jelas saya.

Saya lihat riak wajah Tuan-tuan Muda yang lain seolah-olah bersetuju dengan cadangan saya.

“Tak mahu! Saya mahu jadi Ultraman Nebius juga! Saya sahaja yang boleh jadi Ultraman Nebius. Orang lain tidak boleh!”. Tegasnya dalam nada menjerit.

Baik. Misi saya gagal buat masa ini.

Dalam satu situasi lain, saya berkata kepada Tuan Muda, “Adakah Ultraman Nebius itu baik ataupun jahat?”

“Ultraman Nebius baik, cikgu. Dia kalahkan orang jahat, raksasa! Dia buat macam ini. Iyarhhh! Iyarhhh! Hak!!!,” jawab Tuan Muda dengan semangat sambil membuat gaya Ultraman.

“Ultraman hanya kalahkan raksasa sahaja. Dia bantu orang baik untuk kalahkan orang jahat. Kawan-kawan Tuan Muda baik, bukan?”.

Saya cuba memberi kefahaman kepada tuan muda itu supaya tidak menyamakan teman tadikanya dengan orang jahat. Tuan muda terdiam.

“Mereka jahat sebab mereka raksasa! Iyarhhh!Iyarhhh!,” jawab Tuan Muda.

Dia tidak mahu mengaku kalah dan terus mengejar rakan-rakannya. Tuan Muda merujuk rakan-rakannya sebagai raksasa, mungkin kerana mereka sedang bermain-main.

Tuan Muda ini benar-benar menguji ketahanan mental guru. Akhirnya saya dan seorang guru bersetuju untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada seorang yang berpengalaman selama bertahun-tahun menguruskan tadika.

Buah fikiran daripada mereka yang berpengalaman sangat diperlukan waktu ini. Manalah tahu, ada cara yang sesuai diaplikasikan kepada Tuan Muda tadi.

“Puan, kami sudah menggunakan pelbagai cara untuk mengelakkan Tuan Muda itu daripada menyepak dan menolak kawan-kawannya ketika bermain. Malangnya, ia tidak berkesan kepada Tuan Muda. Puan ada cadangan bagaimana untuk menangani situasi sebegini?” tanya saya pada suatu petang.

“Sudahkah cikgu cuba gunakan teknik memberitahu fungsi kaki dan tangan untuk apa?,” tanya Puan itu.

“Bagaimanakah itu?”. Saya sedikit samar-samar dengan cadangan yang diutarakan.

“Begini. Setiap kali sebelum memulakan aktiviti atau kelas, cikgu terangkan fungsi anggota badan kepada semua murid-murid. Terangkan setiap hari tanpa gagal. Tekankan fungsi tangan dan kaki. Contoh, cikgu tanya, fungsi tangan untuk apa? Fungsi kaki untuk apa? Biarkan murid-murid yang menjawab soalan-soalan ini supaya mereka sentiasa ingat,” terang Puan yang saya hormati itu dengan panjang lebar.

Saya mengangguk tanda faham. Cara ini, saya dan guru lain belum pernah lakukan. Saya sampaikan ilmu ini kepada seorang lagi guru untuk sama-sama kami aplikasikan.

Pada mulanya agak sukar untuk kami praktik. Dalam masa yang sama, tabiat Tuan Muda itu mula merebak kepada seorang cik puan muda, cuma kes cik puan muda ini pula lebih gemar menggunakan tangannya untuk memukul rakan-rakan yang lain tanpa rasa takut. Apa yang lebih membimbangkan kami, cik puan muda sudah berani mencakar kawan-kawannya.

Situasi yang semakin runcing itu sedikit sebanyak membimbangkan kami sebagai guru, tapi jauh di sudut hati, kami percaya cara ini akan berkesan.

Setiap kali pergaduhan mahu tercetus daripada Tuan Muda atau cik puan muda, kami akan segera mengingatkan mereka.

“Tangan untuk apa?”

“Kaki untuk apa?”

Itulah antara soalan wajib yang kami akan tanya.

“Tangan untuk makan!”

“Tangan untuk menulis!”

“Tangan untuk bersedekah!”

“Kaki untuk tendang bola!”

“Kaki untuk berjalan!”

“Kaki untuk pergi ke masjid!”

Ini adalah antara jawapan yang kami terima daripada tuan-tuan muda dan cikpuan-cikpuan muda. Buat seketika, kami berasa lega.
Namun untuk menanti hasil yang baik, kesabaran, sikap tidak mudah mengalah dan tanpa rasa jemu itu selalu berada dalam ingatan kami.

Kira-kira sebulan setengah selepas itu, tiba-tiba saya dikejutkan dengan perubahan drastik Tuan Muda Amirul.

Saya lihat, dia bermain dengan baik bersama rakan-rakannya. Sudah tidak ada situasi membimbangkan. Tiada lagi adegan-adegan menyepak dan menolak seperti sebelum ini. Semuanya dalam keadaan terkawal.

Apa yang lebih mengejutkan, jika sebelum ini ramai mengadu kepada guru jika pergaduhan antara Tuan Muda Amirul terjadi, kini Tuan Muda ini pula yang cuba meleraikan pergaduhan rakan-rakannya yang lain. Walaupun caranya itu agak kasar, namun ia boleh dibentuk secara perlahan-lahan.

Suatu perubahan yang sangat besar dan melegakan kami. Satu kejayaan yang selama ini dinanti-nanti.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Mahukah tuan membaca siri perkongsian yang lain?

Mendorong Tingkah Laku Kanak-kanak MockUp1

Tuan boleh mendapatkan Ebook ini di link ini:

SAYA MAHU MEMBELI EBOOK INI

https://abs.aztetic.my/buy/mendorongtingkahlakukanak2

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *