Mendorong Pelajar Solat Tanpa Menyuruh Mereka Solat

Pelik!

Bagaimana mendorong pelajar solat tanpa menyuruh mereka solat? Sedangkan berapa ramai guru yang sudah mencuba berbagai-bagai teknik hukuman, ugutan dan rotan, kes pelajar ponteng solat masih berlaku.

Ini adalah pengalaman Puan Wan Anie, seorang pengamal dan jurulatih Teknik Nabi. Beliau menulis dalam blog Pesona Didik Anak Cara Sunnah.

—-

Anak 3

 

Kelas mengaji saya berlangsung setiap malam Isnin hingga Khamis setiap minggu. Pada malam Isnin lepas saya tergerak hati untuk bertanya kepada pelajar, “Sudah solat Maghrib ke semua ni?” (Ini bukan menggunakan Skrip Teknik Nabi)

Semua pelajar diam. Ada beberapa pelajar yang menjawab “Tak” dengan nada suara yang perlahan dan tersipu-sipu.

“Oh patut lah sampai awal” (Ini juga bukan skrip Teknik Nabi). Ini skrip menuduh atau menduga-duga.

Walaupun saya terkejut dengan jawapan pelajar saya yang terdiri daripada kanak-kanak 5 – 12 tahun. 12 tahun itu sudah besar, ada beberapa orang sudah pun baligh.

Selepas semua duduk dan membaca Al-Fatihah, saya bertanya,“Siapakah di sini yang Solat Maghrib sebelum datang kelas mengaji?” semua diam.

Kemudian saya bertanya lagi,“Siapakah di sini yang susun selipar sebelum masuk?” Hanya dua orang yang berkata “Saya”. Memang sengaja saya bertanyakan soalan ini kerana saya perhatikan kasut dan selipar bergelimpangan seperti dibuka oleh orang yang dikejar hantu.

Saya diam memerhatikan gelagat pelajar-pelajar ini. Kemudian saya bertanya lagi, “Siapakah di sini yang bersalam dengan kedua ibu bapa sebelum datang?”

Hanya dua atau tiga orang sahaja yang mengangkat tangan dan berkata “Saya”. Saya diam memerhati tanpa menunjukkan memek muka bersetuju atau tidak setuju.

Selepas semua diam saya berkata,”Sesungguhnya sesiapa yang melakukan perbuatan yang Ustazah sebutkan tadi, sudah tentu mendapat ganjaran pahala kebaikan.”

Air muka kanak-kanak mula berubah, mereka tersenyum. Ada yang berkata, “Esok saya tak akan lupa untuk solat.”

Tiba-tiba bangun seorang pelajar 7 tahun keluar. Hairan. Rupa-rupanya beliau menyusun semua selipar yang berserakan di luar rumah. Tanpa menyuruh, anak ini terdorong untuk melakukan kebaikan.

Soalan yang sama saya tanya pada hari Selasa dan Rabu. Apa yang mengejutkan saya, pada hari Rabu, sudah ramai yang mengangkat tangan selepas soalan yang sama saya utarakan.

Sekiranya tuan puan pernah mengikuti Bengkel Teknik Nabi, ini adalah teknik menggunakan ayat tanya untuk mendorong perbuatan baik.

Kita tidak menyuruh-nyuruh. Kita tidak mengajar-ngajar. Kita tidak perlu sampai marah-marah untuk menegur anak supaya melakukan apa yang kita mahu.

Kita mendorong!

Pada 10 Oktober ini, dalam Bengkel Menegur Anak Gaya Nabi, ibu bapa akan belajar 8 Teknik Menegur Anak.

Klik –> Saya Mahu Tahu tentang Bengkel Akan Datang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *